Petua Keluarga Bahagia

Tanpa sebuah persefahaman, tidak mungkin istana yang dibina menemui kebahagiaan sebagaimana diharapkan.

Kesolehan keluarga menjadi penentu bagi tegaknya sesuatu bangsa yang aman, makmur dan sejahtera. Sebahagian dari kesempurnaan kebahagiaan di dunia adalah memiliki keluarga yang bahagia.

Ciri orang yang mencintai keluarganya adalah dia selalu bersabar dalam mendidik akhlak dan keimanan keluarganya.

Biar berjuta halangan merentangi namun jika tersurat kasih dan sayang dua insan berkenaan, pasti ia menemukan ketulusan yang abadi.

Dalam melayari rumah tangga berdua, pasti banyak onak terpaksa dilalui. Hanya mereka yang kuat, tabah dan mampu mendepani segalanya bakal menjulang kebahagiaan.

Perunding motivasi dan keluarga, Dato’ Dr Hj Mohd Fadzilah Kamsah memberi 63 petua yang boleh dijadikan amalan pasangan suami isteri yang melayari rumah tangga.

1. Doa yang berterusan.
2. Patuh ajaran agama.
3. Murah dengan pujian.
4. Murah dengan khidmat.
5. Murah dengan belaian kasih sayang.
6. Murah dengan sentuhan.
7. Mencari kebaikan pasangan.
8. Cari masa berkomunikasi, berbual atau bergurau senda.
9. Cari kebaikan dan pembaikan diri daripada setiap pertengkaran.
10. Menghormati had, sempadan atau hal peribadi pasangan.
11. Menilai diri daripada perspektif pasangan.
12. Berfikiran terbuka – boleh tegur menegur.
13. Berani mengambil risiko emosi – tegur/perubahan/ berpisah sementara.
14. Menilai dan memberi keutamaan dalam kehidupan.
15. Tolak-ansur.
16. Menghormati dan mengambil kira ‘gerak batin’ (intuition) perempuan.
17. Tidak mengejar kebendaan semata-mata.
18. Sedar bahawa perselisihan kadangkala tidak boleh dielakkan.
19. Mengubah diri untuk merangsang perubahan pada pasangan.
20. Sanggup berkorban buat pasangan.
21. Menghormati pasangan.
22. Berasa amat beruntung (dan nyatakan) mendapat pasangan yang ada.
23. Perhubungan seksual yang sihat dan diredai.
24. Menghormati perbezaan dalam diri pasangan.
25. Sentiasa bermaafan sebelum tidur.
26. Sentiasa bersangka baik terhadap masa depan.
27. Meletakkan hak kepada pasangan.
28. Tidak menjadi hamba kepada pasangan.
29. Berubah secara kecil-kecilan untuk meningkatkan kebahagiaan.
30. Mengawal marah. Buat perjanjian.
31. Mencari penyelesaian dalam situasi ‘menang-menang’.
32. Muhasabah hubungan untuk mencari punca masalah.
33. Menghormati sifat semula jadi pasangan.
34. Memahami peranan ‘pasangan’.
35. Hubungan perasaan sesama pasangan.
36. Jangan simpan ketidakpuasan, sedih, marah atau benci dalam hati.
37. Bentuk kod kasih sayang dan anda berdua saja yang tahu.
38. Sengaja merancang untuk membaiki hubungan suami isteri.
39. Tujuh kali puji dan satu teguran.
40. Sebut ‘I love you’ sepanjang masa.
41. Banyakkan bergurau dan bermesra.
42. Sentiasa berterus terang.
43. Beri masa untuk perubahan berlaku – sabar.
44. Elakkan berdebat untuk mencari kebenaran.
45. Elakkan salah pasangan.
46. Cari titik pertemuan.
47. Selesaikan masalah hari ini pada hari ini juga.
48. Lebih banyak memberi daripada menerima.
49. Minta nasihat, pandangan atau maklum balas daripada pasangan.
50. Sentiasa bersemangat – bangun tidur, pergi kerja, balik kerja dan sebagainya.
51. Seimbangkan hubungan dari segi:

Mental, pendidikan dan ilmu
Emosi
Fizikal dan ekonomi
Sosial
Spiritual

52. Jangan berjauhan terlalu lama (kecuali terpaksa).
53. Tidak terlalu mengongkong.
54. Tidak bertindak bersendirian.
55. Memberi peluang untuk berbeza:

Pendapat atau pandangan
Hobi
Kegemaran
Makanan
Cita rasa
Warna pilihan dan pelbagai

56. Humor atau lawak dari semasa ke semasa.
57. Minta bantuan untuk memecahkan kitaran negatif.
58. Berwawasan dan pandang ke depan (tidak terjebak dengan masalah semasa).
59. Tidak meminta yang bukan-bukan.
60. Bentuk undang-undang atau peraturan dalam rumah tangga.
61. Mencari kelainan dan perubahan positif.
62. Elakkan mendera pasangan dengan apa cara sekalipun.
63. Reda, syukur dan tawakal kepada Allah s.w.t.

Comments

comments

Kemuliaan Ibu Mengandung Dalam Islam

1. Dua rakaat solat wanita yang hamil lebih baik dari 80 rakaat solat wanita yang tidak hamil.

2. Wanita yang hamil dapat pahala puasa disiang hari & pahala ibadat dimalam hari.

3. Wanita yang bersalin dapat pahala 70 thn solat & puasa serta setiap kesakitan pada satu uratnya, Allah bagi satu pahala haji.

4. Sekiranya wanita meninggal dunia dalam masa 40 hari selepas bersalin ia dikira sebagai mati syahid.

5. Wanita yang beri minum susu badannya kepad anaknya akan dapat 1 pahala daripada tiap titik susu yang diberikannya.

6. Wanita yang beri minum susu badannya kepad anaknya yang menangis maka Allah beri pahala satu tahun pahala solat & puasa.

7. Kalau wanita menyusui anaknya hingga cukup tempoh 2 setengah tahun, maka malaikat dilangit khabarkan berita bahawa syurga wajib baginya.

8. Seorang ibu yang menghabiskan masa malamnya dengan tidur yang tidak selesa kerana menjaga anaknya yang sakit dapat pahala seperti membebaskan 20 orang hamba.

9. Wanita yang tidak cukup tidur pada malam hari kerana menjaga anaknya yang sakit akan di ampunkan oleh Allah akan seluruh dosanya & bila dia hiburkan hati anaknya Allah beri 12 tahun pahala ibadat
Anak-anak adalah amanah dari ALLAH s.w.t. dan ianya sebahagian dari ujian ALLAH s.w.t. kepada kita hamba-hambaNYA.

Comments

comments

Wanita hamil berpakaian sendat mudarat kesihatan

Wanita hamil berpakaian sendat, melekat dan menampakkan susuk tubuh, bukan lagi satu pemandangan pelik. Fesyen wanita hamil seperti kemeja, blaus dipadan dengan seluar, gaun singkat atau labuh menjadi pilihan asal saja tampak bergaya.

Jika dulu, pemakaian baju melekat itu tampak janggal, tetapi seiring waktu ia sebaliknya sebati sebagai fesyen wanita hamil. Tambahan pula hasil pengaruh trend berpakaian selebriti hamil yang gemar berpakaian ketat, menyebabkan ramai wanita turut memilih berpakaian sedemikian.

Maka, kemeja-T, khususnya lebih ketara sebagai pakaian rasmi hamil dan seakan `lenyap’ sudah pemakaian baju hamil longgar dan besar yang satu ketika dulu menjadi keutamaan ibu mengandung.

Pusat, perut tersembul

Ada wanita yang tidak segan berpakaian sendat dan tipis sehingga sesetengahnya menonjolkan pusat dan perut tersembul.

Mengapa pakaian sebegitu dipilih? Tidak keterlaluan dikatakan melihat wanita sarat hamil berpakaian sendat, bukan saja mencolok mata tetapi juga kelihatan tidak selesa. Lebih membimbangkan, ia juga boleh memudaratkan kesihatan.

Pakar Obstetrik dan Ginekologi, Dr Marjoria Greenfield yang banyak menulis buku berkaitan kehamilan, menjelaskan sungguhpun tiada bukti saintifik, pakaian ketat termasuk pakaian dalam, memudaratkan kesihatan tetapi ia mengundang ketidakselesaan `yang tidak seharusnya’ berlaku ketika melalui tempoh kehamilan.

Pedih hulu hati

Kajian Jabatan Wanita dan Bayi Pusat Perubatan Pasifik California, Amerika Syarikat, juga mendapati pemakaian baju ketat terutama pada bahagian pinggang boleh menyebabkan pedih hulu hati – salah satu masalah kesihatan yang menyebabkan ketidakselesaan.

Pedih hulu hati atau pembalikan asid reflux adalah perkara dan rasa ketidakselesaan biasa yang akan dirasai ketika hamil. Keadaan itu berlaku disebabkan proses pencernaan lambat akibat peningkatan progesteron dalam badan ketika hamil. Peningkatan progesteron mengakibatkan makanan berada lebih lama di dalam perut, sekali gus menyebabkan makanan berisiko mengalir keluar.

Abdomen yang `penuh’ akibat pembesaran uterus turut memberi tekanan kepada bahagian berkenaan sekali gus menyebabkan makanan tertolak ke bahagian dada. Tekanan daripada pakaian ketat boleh menolak perut lalu memaksa kandungan `naik’ ke atas seterusnya menyebabkan berlaku pedih hulu hati.

Jangkitan kulat

Selain itu, kajian mendapati risiko jangkitan yis pada bahagian sulit turut meningkat lebih tinggi akibat pemakaian baju ketat, apatah lagi sekiranya mereka menggunakan fabrik tidak bersesuaian sehingga menyukarkan kulit `bernafas’.

Keadaan itu berlaku kerana wanita mengalami peningkatan masalah rembesan faraj. Seluar ketat menyebabkan ia lembap dan keadaan itu amat sesuai dengan pembiakan kulat atau yis. Ia boleh menyebabkan kegatalan dan ketidakselesaan.

Undang sakit

Pakaian ketat juga boleh menyebabkan sakit di beberapa bahagian tertentu pada badan antaranya abdomen, dada dan lengan.

Malah payu dara juga berubah saiz ketika hamil. Justeru pastikan pilihan coli yang tidak terlalu ketat ketika hamil kerana ia boleh menyebabkan sakit pada bahagian dada, di bawah lengan dan belakang badan.

Keadaan itu lebih teruk apabila menghampiri minggu terakhir kehamilan, iaitu payu dara akan menjadi lebih sensitif dalam persediaan untuk penyusuan bayi. Tekanan pada payu dara pula menyebabkan `duktus’ susu tersumbat yang mengakibatkan kawasan sekitarnya menjadi sakit dan kemerahan.

Aliran darah tidak lancar

Sebetulnya pakaian ketat mengganggu aliran darah tanpa mengira jantina dan usia tetapi ia lebih kompleks ketika hamil. Pada awal kehamilan saluran darah wanita berkembang sebagai persediaan peningkatan isi padu darah bagi plasenta dan bayi.

Oleh itu, sebelum isi padu darah meningkat untuk mengisi salur darah, wanita lebih mudah mengalami tekanan darah rendah (contohnya bingkas bangun daripada kedudukan duduk atau baring boleh menyebabkan pening).

Pakaian ketat boleh mengganggu sekali gus lebih mudah mendapat kebas dan `sensasi mencucuk’ pada anggota tubuh badan termasuk di tangan dan kaki.

Jaga adab ketika hamil

Wanita Muslim perlu kembali kepada asas dan prinsip agama dalam soal pakaian yang mewajibkan mereka menutup aurat dan tidak memakai pakaian mencolok mata.

Penceramah Bebas, Wan Akashah Wan Abdul Hamid, berkata sama ada wanita itu hamil atau tidak, mereka perlu mematuhi peraturan khususnya keperluan menutup aurat.

“Dari segi kesihatan pakaian ketat boleh mengundang rasa tidak selesa, apalagi ketika melalui proses kehamilan yang seharusnya perlu berpakaian longgar, menutup aurat dan tidak jarang.

“Pakaian sendat hanya akan menimbulkan rasa tidak selesa pada mata orang lain yang memandangnya. Malah memakai ketat dan tidak menutupi aurat boleh mempengaruhi pertumbuhan minda bayi,” katanya.

Beliau berkata, wanita hamil tidak menjaga adab termasuk tidak menutup aurat atau berpakaian mencolok maka anak dalam kandungan turut mewarisinya gaya ibunya serta liat menutup aurat.

Bagaimanapun, jika wanita hamil memikirkan teringin mengikut aliran fesyen ketat ia boleh dipakai di rumah ketika bersama suami.

“Wanita Islam perlu kembali kepada prinsip agama dalam pelbagai perkara. Walaupun fesyen bertukar ganti, tetapi aturan aurat sangat jelas, muka dan tapak tangan saja boleh dilihat. Pakaian perlu longgar, tidak jarang dan tidak mengikut bentuk tubuh badan,” katanya.

Pakaian

– Tidak ketat atau mencengkam pada bahagian pinggang.

– Longgar bertujuan memberi keselesaan, pergerakan ibu dan saiz kandungan kian membesar.

– Pilih bercangkuk lebar di bahagian belakang.

– Bertali lebar dari kain kapas memudahkan penyerapan peluh.

– Pakai seluar dalam khaskan wanita mengandung.

Kasut

– Bertumit rendah, untuk imbangan badan.

– Jenis kain dan kanvas, beri lebih ruang edaran udara.

– Kasut sukan, pilih ada sokongan lengkuk tapak kaki dan tumit yang baik.

Comments

comments

Amalan Semasa Mengandung

Sikap dan tingkah laku si ibu boleh diwarisi oleh si anak di dalam kandungan? Sejauh mana kebenarannya? Dan apa yang harus saya lakukan agar dikurniakan cahaya mata yang cerdik, cantik dan berakhlak mulia? Jom singkap antara amalan terbaik yang wajar diamalkan oleh si ibu sepanjang tempoh kehamilannya bersama wartawan Siti Farhana Adenan.

1. Didikan Di Alam Rahim

Para pakar perubatan sependapat bahawa anak-anak boleh dididik menjadi cerdik dan berakhlak mulia sejak ia berada di alam rahim lagi. Apabila janin meningkat usia empat bulan, si ibu mestilah mengawasi setiap tindak tanduknya kerana pada tempoh tersebut Allah SWT telah meniupkan roh ke atas janin yang dikandunginya. Pada waktu inilah janin sudah boleh mendengar dan mengamati suasana persekitaran yang berlaku.

Dalam usaha melahirkan anak yang patuh mendengar kata ibu dan ayah, si ibu perlulah menunjukkan contoh yang baik ini sejak dari awal lagi. Patuh mentaati perintah Allah swt dan taat pada suami dan Insya-Allah, anak yang lahir nanti akan turut mewarisi sifat tersebut.

2. Jaga Tingkah Laku

Ketika hamil emosi si ibu memang tidak stabil dan mudah marah. Namun si ibu perlu bijak mengawal emosi dengan menjaga tutur kata dan tingkah laku agar tidak menunjukkan akhlak yang buruk. Anak di dalam kandungan sentiasa mendengar suara persekitarannya. Jadi, tuturkan dan dengarkanlah perkara-perkara kebaikan sepanjang kehamilan anda. Tujuannya, agar si anak dapat mendengarinya sekali gus mewarisi sifat-sifat kebaikan itu.

3. Beribadah

Apabila si ibu dan ayah rajin beribadah, insya-Allah si anak juga akan mewarisi sifat itu. Si anak yang dilahirkan dalam suasana tetap beribadah akan menunjukkan kesungguhannya untuk bersembahyang dan sensitif dengan kalimah Tuhan apabila usianya menginjak dua tahun. Malah ada yang sudah pandai mengucapkan kalimah memuji Allah swt dalam usia semuda itu.

4. Komunikasi

Selain solat, ibu hamil juga disarankan untuk mengucapkan kalimah-kalimah yang baik. Berbisiklah pada bayi di dalam kandungan dengan kalimah-kalimah suci memuji Tuhan. Yakinlah si anak mendengar dan mendoakan yang terbaik buat ibunya.

5. Membaca Al-Quran

Banyakkan membaca Al-Quran, bertahlil, berzanji, marhaban, berzikir, berselawat, berdoa dan amalan sunat yang lain agar zuriat yang lahir menjadi anak yang soleh dan solehah.

Surah Amalan Terbaik Ketika Mengandung

Ketika hamil, para ibu digalakkan membaca surah-surah dalam Al-Quran dan menjadikannya sebagai amalan harian. Antara surah-surah yang digalakkan untuk diamalkan sepanjang tempoh kehamilan ialah :

1. Surah Al-Fatihah
2. Surah Ayatul Kursi
3. Surah Yaasin
4. Surah Yusuf
5. Surah Maryam
6. Surah Luqman

Ibu Sihat, Anak Cerdas

Selain menjaga tingkah laku dan memperbanyakkan amalan-amalan sunat, ibu hamil juga digalakkan untuk mengamalkan pemakanan yang sihat sepanjang tempoh kehamilan. Antaranya :

Telur – Kaya protein.
Ikan Salmon – Kaya sumber Omega-3
Kekacang – Tinggi serat dan protein.
Keledek – Sumber vitamin A, C, folat dan serat.
Bertih jagung atau sebarang biji-bijian – Tinggi nutrien dan serat, vitamin E, selenium serta phytonutrient.
Kacang walnuts – Kaya sumber Omega-3 (sebagai pengganti bagi yang tidak menggemari ikan atau telur.
Yogurt – Sumber kalsium.
Sayuran Berdaun Hijau – Kaya dengan sumber vitamin serta nutrien termasuklah vitamin A, C, K dan folat.

Comments

comments

Isteri Mengandung Diperiksa oleh Doktor Lelaki

Soalan:

Ada suatu perkara yang selama ini mengganggu fikiran saya, dan bagi saya ia telah menjadi perkara yang SERIUS. Saya telah mempunyai empat orang anak, keempat-empat anak saya tersebut lahir melalui perawatan doktor lelaki. Semenjak dari pemeriksaan hinggalah sampai mereka lahir, doktor lelaki itulah yang melaksanakannya. Yang menjadi kemusykilan saya apakah pemeriksaan bulanan ketika mengandung yang dilakukan oleh doktor lelaki tersebut dengan memegang bahagian-bahagian aurat seperti perut dan sebagainya dikira sebagai darurat. Sedangkan ketika itu isteri saya bukan dalam keadaan sakit tapi dalam keadaan normal. Apakah hukumnya jika kita membiarkan perkara itu terjadi di depan kita sedangkan mungkin kita boleh mencari alternatif lain seperti mencari doktor pakar wanita ataupun bidan?

Jawapan & Penjelasan:

Pada diri wanita ada ciri-ciri atau kriteria yang spesifik dan itu tidak dimiliki oleh lelaki, begitu pula sebaliknya. Apabila salah satu pihak meninggalkan kriteria yang telah ditetapkan Allah bererti ia telah meninggalkan fitrah dan merosak kudrat insaniah. Ada beberapa ketentuan dalam syariat Allah sehubungan kriteria yang dimiliki oleh wanita, oleh sebab itu berpegang teguhlah dengan syariat tersebut dan jangan perkenankan lelaki campur tangan dalam urusan dalaman jika tidak ingin dirugikan ataupun kehidupan fizikal dan kejiwaan wanita akan rosak.

Syariat & Darurat

Secara syariat, wanita muslimah hendaklah menjaga dirinya dan auratnya dari dilihat orang lain, kerana jika perkara ini terjadi pasti akan menimbulkan fitnah. Secara fitrah baik lelaki ataupun wanita yang bukan muhrim bersentuhan pasti akan menimbulkan berahi dan getaran jiwa yang akan mendatangkan tekanan syahwat baik banyak mahupun sedikit. Inilah namanya nafsu yang pasti ada pada diri seorang lelaki ataupun wanita yang normal. Wanita mengandung ketika mengadakan pemeriksaan bulanan dengan doktor lelaki bukanlah tergolong dalam keadaan darurat, kerana ketika itu wanita tersebut bukan dalam keadaan sakit. Jika ia bukan dalam keadaan darurat sudah tentu hukumnya berdosa ketika seorang doktor lelaki menyentuh bahagian-bahagian tertentu tubuh wanita tersebut. Kedudukan darurat dalam Islam adalah jika sesuatu keadaan itu tidak ada pilihan lain, maka secara terpaksa atau harus kita melaksanakan sesuatu yang pada dasarnya bertentangan dengan ketetapan Allah. Umpamanya, memakan daging khinzir hukumnya haram, namun ketika dalam keadaan tidak ada sedikitpun makanan melainkan daging itu sahaja, sedangkan kita dalam keadaan kelaparan yang boleh membawa maut, maka hukumnya menjadi harus memakan daging tersebut sekadar mengelakkan dari mati.

Pemeriksaan Bulanan

Begitu juga halnya dalam masalah pemeriksaan bulanan, ia bukanlah dalam keadaan darurat, sebab masih ada cara lain atau alternatif lain untuk mencari doktor wanita ataupun bidan yang beragama Islam. Apatah lagi di negara kita sekarang ini mudah didapati doktor wanita, bahkan di hospital dan klinik kerajaan pun kebanyakan yang memeriksa wanita hamil terdiri dari doktor atau bidan wanita. Mengapa kita mesti mencari doktor lelaki jika hanya sekadar menginginkan kepakaran mereka disaat mengadakan pemeriksaan bulanan. Bahkan doktor wanita yang pakar sakit puan pun telah ramai di negara ini. Maka tidak timbullah istilah ‘darurat’ ketika mengadakan pemeriksaan bulanan dengan doktor lelaki bagi wanita hamil. Kecualilah ketika akan melahirkan, di mana wanita yang akan melahirkan tersebut memerlukan pembedahan dan perhatian yang serius dari ramai pihak. Maka ketika ini barulah boleh dipakai istilah darurat tersebut, kerana wanita yang ingin melahirkan itu tidak terfikir masalah lain, melainkan ingin selamat melahirkan anaknya.

Aspek Psikologi

Ditinjau dari aspek psikologi pun proses pemeriksaan bulanan yang dilakukan wanita hamil dengan doktor lelaki ini akan menimbulkan kesan yang jauh dan negatif dalam hubungan kekeluargaan. Bayangkan saja bagi seorang wanita yang selama ini hanya disentuh oleh suaminya, tentu akan merasa suatu getaran ketika lelaki lain menyentuhi tubuhnya. Rasa kelainan dan getaran inilah yang membenihkan suatu keinginan tertentu kepada yang lain selain suaminya, lebih-lebih lagi ketika mereka menghadapi masalah atau krisis rumahtangga. Perkara ini sepintas lalu nampaknya macam perkara biasa dan sederhana, namun dalam jangka masa panjang, kesannya sangat membahayakan minda dan jiwa isteri tadi serta suaminya juga. Dalam hal ini bagi doktor lelaki mungkin tidak merasakan apa-apa perasaan terhadap pesakitnya, disebabkan terlalu ramai pesakit yang dirawatnya setiap hari dan ini menjadikannya lali dengan keadaan tersebut. Namun bagi seorang wanita yang normal dan sihat, getaran di jantungnya pasti akan terasa dan getaran inilah yang dinamakan syahwat. Jika perkara ini terjadi bukanlah bererti setiap wanita yang hamil itu tidak baik atau wanita yang rendah moralnya, malah perkara ini membuktikan kenormalan wanita tersebut. Dalam hal ini kebijaksanaan suami sangat dituntut untuk melaksanakan tuntutan Islam agar isterinya mengadakan pemeriksaan bulanan dengan doktor wanita Islam sahaja.

Menggerakkan Nafsu Syahwat

Saya ingin membawa contoh yang sama dalam diri seorang lelaki. Bagaimanakah rasanya perasaan seorang lelaki jika bahagian tertentu tubuhnya disentuh oleh doktor wanita dengan nada bahasa yang lemah-lembut dan baik. Sebagai seorang lelaki yang normal, pasti dia akan merasakan getaran di jantungnya, kecualilah jika ketika itu ia betul-betul sakit (dalam keadaan darurat), sehingga tidak ada yang lain difikirkannya melainkan kesembuhan dari sakitnya itu. Begitu juga halnya dengan doktor wanita yang menyentuh pesakit lelaki mungkin merasa lali dengan situasi tersebut disebabkan propesi dan tanggungjawabnya sebagai seorang doktor.

Keretakan Rumahtangga

Fahamilah tentang kaedah batas-batas aurat bagi seorang wanita atau lelaki yang bukan muhrim. Jika perkara ini tidak diberi perhatian secara serius, lama kelamaan akan runtuhlah sendi institusi rumahtangga keluarga muslim. Seandainya seluruh umat Islam tidak mengambil berat tentang perkara ini, bukan saja institusi rumahtangga malah negara pun akan runtuh kerana kejatuhan nilai moral dan agama dalam kehidupan bangsa. Peliharalah diri dan keluarga kita agar kehidupan bahagia di dunia dan di akhirat serta terhindar dari seksa api neraka.

Sumber Asal : www.darulnuman.com

Comments

comments

Anak adalah anugerah Allah kepada ibu bapa

anak-adalah-anugerahAnak yang dilahirkan adalah anugerah Ilahi dan kurniaan daripada Allah SWT kepada umatnya. Zuriat bukan sekadar penyambung warisan malah bukti kekuasaan Allah. Tidak dinafikan bahawa setiap pasangan berumahtangga sentiasa mengimpikan anak untuk menyerikan lagi rumahtangga mereka.

Oleh itu, anak adalah amanah Allah yang dipertanggungjawabkan kepada setiap ibu bapa untuk mendidik dan mengasuh mereka supaya menjadi insan yang berguna kelak. Tetapi malangnya, sejak akhir-akhir ini ada segelintir masyarakat masih lagi tidak mensyukuri kurniaan Allah SWT iaitu melakukan dengan tindakan kejam seperti membuang, membunuh, menjual serta mendera bayi tanpa berperikemanusiaan.

Ini bukanlah satu kisah yang dongeng tetapi ia merupakan satu kisah realiti yang mana dikatakan hampir setiap hari kes sebegini berlaku dinegara kita malah ianya seperti kemuncak yang tiada pasang surutnya apabila setiap hari kes-kes seperti ini terpampang didada akhbar mahupun televisyen.

Peristiwa yang berlaku dalam masyarakat Islam mutakhir ini ibarat kembali pada zaman Jahiliah terdahulu yang mana mereka sanggup menanam hidup-hidup anak perempuan mereka kerana tidak sanggup menanggung malu. Jadi, tidak ada bezanya sama sekali antara perbuatan menanam bayi dengan membuang, membunuh dan mendera bayi dengan niat jahat kerana perbuatan sebegini dilarang Allah. Persoalannya, mengapakah masalah seperti ini sering berlaku dikalangan umat islam pada hari ini?

Hal ini berpunca daripada kalangan ibu bapa yang merasa khuatir tidak dapat menyara kehidupan mereka, lantas memilih jalan terkutuk untuk menyelesaikan masalah tersebut. Sebagaimana yang kita tahu, urusan rezeki adalah ketetapan dan tidak wajar manusia merasa ragu dengan rezeki yang diperlukan bagi membesarkan zuriat mereka. Firman Allah yang bermaksud: “Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepapaan. Kami-lah yang memberi rezeki kepada mereka dan kepada kamu. Sesungguhnya perbuatan membunuh mereka adalah satu kesalahan yang besar.” (Surah al-Isra’, ayat 31)

Selain itu, tidak terlepas dalam kalangan masyarakat kita ada yang mempercayai musibah atau bencana yang berlaku datangnya daripada sial, badi atau nasib malang contohnya, mengaitkan musibah yang berlaku seperti perniagaan merosot, bankrap atau ditimpa bencana daripada sial yang dibawa oleh anak.

Akibat terlalu taksub dengan kepercayaan seperti itu, mereka sanggup membunuh, mencederakan serta menyisihkan anak yang tidak berdosa itu. Mereka seperti ini ialah manusia yang tidak tahu untuk mensyukuri dan menghargai anugerah Allah yang cukup bernilai itu. Sekiranya masyarakat Islam pada hari ini memahami dan berpegang teguh dengan konsep qada’ dan qadar Allah, pastinya mereka tidak akan merasa kecewa, sebaliknya bersangka baik dengan Allah dan bersedia mengharungi dugaan itu dengan penuh redha.

Setiap anak yang baru dilahirkan umpama sehelai kain putih yang menunggu saat untuk dicorakkan ibu bapanya bukan untuk dihina, dikeji dan diperlakukan tanpa belas kasihan dan berperikemanusiaan. Rasulallah SAW bersabda yang bermaksud: “Setiap kelahiran (anak kecil) dilahirkan dalam keadaan fitrah.” (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim).

Hadis tersebut menjelaskan bahawa bayi yang dilahirkan fitrah dan putih bersih serta suci daripada sebarang dosa dan kesalahan. Jadi, salah sekali bagi mereka yang beranggapan dan berpendapat bahawa anak kecil yang baru dilahirkan, membawa sial atau malapetaka kepada keluarga.

Islam tidak pernah mengatakan ada dosa yang dibawa oleh bayi sejak lahir sekalipun anak itu adalah anak luar nikah. Akan tetapi, dalam Islam dosa itu mula mencemari kesucian hati seseorang apabila dia meninggalkan perintah Allah dan melanggar segala larangan-Nya.

Oleh itu, lahirnya seorang anak bukannya sebagai satu keseronokan hidup atau menambahkan satu bebanan yang tidak tertanggung. Sebaliknya, kelahiran anak yang diharap dapat menyambung warisan kekeluargaan dan sebagai satu ujian Allah kepada pasangan suami isteri atau ibu bapa. Sebagaimana firman Allah SWT dalam (Surah Al-Anfal: ayat 28) : “Dan ketahuilah harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah ujian dan sesungguhnya disisi Allah jugalah pahala  yang besar”.

Mungkin ramai yang tidak sedar bahawa kehadiran anak adalah adalah penawar kepada ibu bapanya terutamanya pabila usia emas kelak. Doa anak soleh juga penting kepada ibu bapa apabila meninggal dunia, agar dilepaskan daripada azab seksa neraka. Segalanya bergantung pada didikan dan ajaran ibu bapa terhadap anak-anak termasuk didikan agama dan sentiasa menjaga amanah yang diberikan Allah kepada mereka dengan sebaiknya. Jika umat Islam menyedari kedudukan ini sudah pasti ibu bapa tidak akan mengkhianati amanah Allah itu. Mereka akan mendidik anak-anak mereka mengikut acuan dan panduan Islam supaya keislaman anaknya itu tidak dirosakkan.

Sebagai kesimpulan, sesungguhnya anak adalah anugerah Allah yang cukup berharga kepada ibu bapa. Mereka juga amanah untuk dipelihara dengan sempurna termasuk memastikan keselamatannya didunia mahupun akhirat. Oleh itu, jagalah anak selayaknya agar mereka boleh berbakti kepada kedua ibu bapanya kelak dan terus menyayangi, disamping sentiasa bersyukur dengan kehadiran anak didalam keluarga. Berilah perhatian agar mereka menjadi insan bertakwa dan berguna kepada agama, bangsa serta Negara.

Comments

comments

Kenapa kaum ibu berpendapat 60 hari cuti bersalin tidak mencukupi?

cuti-bersalin-tidak-mencukupi

KUALA LUMPUR: Golongan ibu mengeluh betapa cuti bersalin yang ditetapkan sebanyak 60 sehingga 90 hari sememangnya tidak mencukupi selain tidak cukup rehat selepas bercuti.

Menurut beberapa pengalaman para ibu yang dihubungi Astro AWANI hubungi, rata-ratanya memberitahu pengalaman yang sama iaitu harus menyambung rutin berjaga pagi menjaga anak selepas waktu bekerja.

Lebih-lebih lagi kepada ibu yang tidak mempunyai pembantu rumah, masa rehat memang tiada langsung sebaik sahaja anak dilahirkan.

“Ramai berpendapat cuti bersalin adalah waktu ‘honeymoon’ hanya kerana waktu cuti itu dilihat panjang iaitu selama 60 hari, padahal tidak” kata ibu beranak satu, Syarmeira Salleh, 29.

Syarmeira yang baru sahaja melahirkan anak empat bulan lepas turut bersetuju agar cuti bersalin dipanjangkan.

“Saya hantar anak ke taska sejak umurnya dua bulan, ketika itu kepala anak masih lagi lembut. Itu adalah risiko yang perlu saya ambil demi tanggungjawab di tempat kerja, kalau cuti bersalin dipanjangkan sekurang-kurangnya empat bulan mungkin anak lebih stabil untuk diserahkan kepada taska” kata Syarmeira yang menghantar anak lelakinya ke taska berhampiran rumahnya di Seri Kembangan dengan bayaran RM650 sebulan.

“Memang penat, lebih-lebih lagi selepas waktu bekerja saya kena berjaga malam sebab anak akan menyusu setiap jam” katanya lagi.

Syarmeira turut mengakui sebaik sahaja menyambung tugas di tempat kerja, prestasinya menurun kerana penat, bimbang dan pada masa tidak boleh fokus terhadap pekerjaan kerana risaukan keselamatan anak di taska.

“Bila selalu lewat atau selalu ambil cuti ke tempat kerja, rakan sekerja akan pandang serong.

“Tetapi orang tak faham, kalau anak sakit atau meragam, memang terpaksa berjaga malam untuk menjaga dia atau paling tidak ambil cuti” ujarnya.

Manakala Noor Ahlina Ramli, 27 juga bersetuju agar cuti bersalin dipanjangkan agar kualiti menyusukan anak lebih terjamin.

“Saya hantar anak ke rumah ibu mertua kerana takut nak hantar ke taska” katanya ibu kepada seorang anak perempuan berumur setahun.

“Oleh kerana perlu bertugas semula, anak tidak dapat menyusu dengan sebaiknya kerana kadangkala saya perlu bekerja lebih masa. Saya memilih untuk memberikan susu formula agar anak kenyang cepat.

“Kalau cuti diberikan lebih panjang, mungkin saya dapat menyusukan anak dengan lebih baik” katanya kepada Astro AWANI.

Ahlina juga merasakan yang cuti 60 hari yang diterimanya hanya cukup sekadar untuk si ibu memulihkan badan.

“Rehat memang tak ada sama sekali, 60 hari itu hanya untuk ‘recovery’ sahaja selepas bersalin” ujarnya lagi.

Sementara itu, menurut survey yang dijalankan oleh Astro AWANI lebih 65 peratus responden merasakan cuti bersalin yang diperuntukkan kerajaan perlu lebih dari 90 hari.

 

Comments

comments